Menu

Ahad, 9 Ogos 2020

Putera Rahsia (1)

Camelia merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Adrian. Mereka tinggal berdua kerana suami Camelia telah meninggalkan mereka sejak Adrian masih kecil kerana tidak sanggup dengan kesempitan hidup yang dihadapi mereka. Adrian yang kini hampir berusia 18 tahun menjadi tulang belakang dan nadi kehidupan Camelia. Kehidupan seharian mereka hanya mengusahakan kebun getah peninggalan ibu bapa Camelia. Ia cukup untuk menyuap makanan ke mulut mereka namun tidaklah mereka dapat bermewah-mewahan kerana kesempitan yang dihadapi.

        Pada suatu hari, Adrian terdetik untuk berbicara tentang suatu keputusan yang telah membelenggu fikirannya sejak beberapa ketika kepada ibunya.

        "Ibu, Ian berfikir nak berhijrah ke bandar la. Memandangkan Ian dah dekat 18 tahun, Ian yakin boleh jaga diri. Sampai bila kita nak hidup macam ni, Ibu? Nak beli apa-apa pun kena berfikir 10 kali. Kalau Ian keluar dari sini, mesti dapat kerja yang bagus, kemudian Ibu boleh minta saja apa yang Ibu nak," kata Ian yang sedang duduk di tangga rumahnya. Ketika ini Camelia sedang menganyam tikar atas tempahan yang diterimanya, dibuat sebagai pendapatan sampingan.

        "Ibu tak izinkan Ian pergi dari sini. Ibu dah tua, siapa yang nak tengok-tengokkan Ibu kalau sakit nanti. Kita dah lah duduk sendiri dekat sini. Lagi satu, siapa yang nak bantu Ibu di kebun getah tu?" balas Camelia tidak bersetuju dengan keinginan anaknya.

       "Tapi Ibu, Ian masih muda, Ian mahu juga lihat kita hidup senang macam orang lain," jawab Adrian.

        "Cukup, Ian. Cukup lah bapak kau tinggalkan Ibu. Kalau kau mahu tinggalkan Ibu juga, jangan mengaku aku ni Ibu kau lagi," tegas Camelia sambil bangun meninggalkan tikarnya yang belum siap menuju ke dapur.

        Kedengaran keluhan kasar dari Adrian apabila cadangannya ditolak mentah-mentah. Baginya, keputusan itu bukanlah untuk kepentingan dirinya semata-mata, malahan ia untuk Camelia juga. Namun apakan daya, dia sebagai satu-satunya anak Camelia harus akur dengan ibunya itu. Dengan kecewa, dia bangun dari duduknya dan terus melangkah ke bilik tidurnya. Dia ingin melelapkan mata dengan harapan boleh melupakan kecewanya apabila bangun kelak.

...

        Adrian berjalan di sekitar rumahnya sambil tercari-cari kucing peliharaannya. Ketika sedang berjalan sambil memerhati keadaan sekeliling, matanya terlihat susuk tubuh di sebalik pokok-pokok di belakang rumahnya. Dia memerhati susuk tubuh itu dan bergerak merapatinya. Kelihatan seorang lelaki tua yang tidak dikenali sedang merenung dirinya. Namun begitu, Adrian tidak dapat merenung mata lelaki itu kerana setiap kali mata mereka bertentang, dadanya terasa sesak dan panas. Semakin lama Adrian memandang tubuh lelaki itu, semakin panas badannya terasa. Pelik dengan situasi itu, dia berjalan perlahan ke belakang dan masuk ke rumahnya semula.

...

        "Adrian!!" Adrian tersentak dari tidur apabila terdengar suara ibunya menjerit nyaring namanya.

        "Ya, Ibu?" balas Adrian dari katilnya saja. Namun, suara Camelia tidak lagi kedengaran. Dia yang baru mengalami mimpi pelik bingkas bangun dari katilnya dan cuba mencari-cari ibunya di dalam rumah. Tetapi, Camelia tidak dijumpai. Begitu juga di kawasan persekitaran rumahnya, tiada tanda-tanda keberadaan Camelia.

        Adrian kembali masuk ke rumahnya dan menuju ke dapur untuk minum air bagi membasahkan tekaknya yang agak kering. Sambil minum, matanya terpandang ke arah jam di dinding yang menunjukkan pukul 6 petang. Adrian agak terkejut kerana dia merasakan yang dia hanya tertidur sekejap saja, namun jam membuktikan dia telah tertidur selama 9 jam, sejak pukul 9 pagi tadi. Sedangkan dia tidak berasa penat pun sebelum tidur. Ia menjelaskan kenapa tekaknya amat terasa kering dan perutnya yang lapar.

        Setelah itu, Adrian kembali mencari ibunya di luar rumah sambil memanggil-manggil nama Camelia. Walaupun begitu, tiada satu pun sahutan manusia mahupun haiwan yang menangkap di telinganya. Dia melangkah menuju ke rumah Mak Jemah, jirannya, yang terletak dalam lingkungan 100 langkah dari rumahnya.

        "Assalamualaikum, Mak Jemah! Ooo Mak Jemah!" jerit Adrian dari kaki lima kediaman Mak Jemah itu. Namun, jeritannya hanya sia-sia kerana tiada tanda-tanda terdapat penghuni di kala ini. Pintu rumah Mak Jemah yang terbuka luas mendorong Adrian untuk masuk ke dalam rumah itu walaupun tidak dijemput. Apabila dia memeriksa keadaan rumah jirannya itu, dia semakin pelik kerana Mak Jemah mahupun cucu-cucu yang dijaganya tidak kelihatan.

        'Mungkin diorang shopping barangkali. Tapi kenapa pintu terbuka luas. Nak menjamu pencuri ke?' ujar Adrian di dalam hati. Adrian bergerak keluar dari situ dan menuju ke anak sungai berhampiran. Anak sungai itu yang menjadi ruang permainan Adrian sewaktu kecil mengalirkan air yang sangat jernih dan sejuk. Ia juga merupakan tempat Camelia membasuh pakaian mereka dua beranak. Sama seperti di rumah Mak Jemah, perjalanannya ke sungai itu tidak terlihat sesiapa pun penduduk kampung.

        Sesudah sampai, Adrian terlihat satu susuk tubuh lelaki di seberang sungai itu yang memerhatinya. Setelah diamati, lelaki itulah yang muncul di dalam mimpinya tadi. Adrian terus menyapa dengan intonasi kasar dan tinggi, "Hoi, orang tua! Siapa kau?".

        "Sungguh beradap kamu ya, wahai anak muda. Beginikah cara manusia menyapa orang tua di alam ini?" balas lelaki tua itu. Walaupun lelaki itu jauh di seberang sungai, namun suaranya amat jelas di telinga Adrian seperti dia berbicara di hadapannya tanpa riak terjerit-jerit seperti Adrian tadi.

        "Ah aku tak peduli! Siapa kau? Mana ibuku?! Mana pergi semua orang?!" bentak Adrian lagi.

       "Dasar darah panas. Sesuai dengan keturunanmu. Aku boleh beritahu ke mana mereka menghilang. Tapi aku ingin bercerita dahulu tentang satu kisah dongeng. Mahukah kau mendengarnya?" balas lelaki tua itu pula.

        "Kau ingat aku ada masa nak dengar cerita kau ke?! Cepat lah bagitau mana semua orang!" bidas Adrian. Tiba-tiba, badan dan dadanya terasa membahang. Panik dengan kejadian itu, dia terduduk meronta kerana panasnya amat terasa. "Arghhh" jerit Adrian.

        "Aku bicara dengan baik, tapi sedikit adab pun tidak ditunjuk olehmu. Mungkin aku perlu ajar kau cara beradab terlebih dahulu," ujar lelaki itu tenang.

        "Ok ok maaf. Aku minta maaf. Baiklah, aku akan dengar cerita kau. Hentikan seksaan ini! Panas!!" rayu Adrian kesal dengan tindakannya tetapi masih kelihatan marah. Sama seperti awal tadi, secara tiba-tiba juga panas yang dirasanya hilang serta-merta. Tercungap nafasnya mencari udara ketika dia masih tidak mempercayai apa yang baru saja berlaku. Dia kembali berdiri dan bersedia dengan apa yang bakal diceritakan kepadanya.

        "Bagus. Alkisah..." lelaki tua itu memulakan kisahnya.

Tamat Bahagian 1.

Sabtu, 8 Ogos 2020

Kucing Schrodinger Hidup DAN Mati?

Ya, anda tak salah baca tajuk. Tapi logik kah ada kucing boleh hidup dan mati dalam satu-satu masa? Sebenarnya, situasi ini adalah satu teori yang dihasilkan oleh Erwin Schrodinger pada tahun 1935 dahulu. Beliau adalah seorang ahli fizik dan agak tersohor di dunia ketika hayatnya (1887-1961). Antara teorinya yang menjadi topik hangat ialah teori Kucing Schrodinger.

Sebelum Terciptanya Teori Kucing

    Dalam teori kuantum, zarah-zarah kuantum dianggapkan boleh wujud dalam keadaan superposisi dan dalam keadaan tunggal dalam masa yang sama, sebelum ia bertemu atau berlanggar dengan zarah yang lain. Dalam kata mudah, sesuatu keadaan zarah tersebut hanya boleh ditentukan dengan kehadiran satu zarah lain yang bertindak sebagai pemerhati. Teori ini yang disokong oleh beberapa orang saintis dan pada mulanya merupakan konsep sains mula beralih kepada konsep falsafah.

Schrodinger Campur Tangan

    Teori tersebut yang kelihatan serba tak kena dikukuhkan lagi dengan teori dari Schrodinger. Schrodinger menyamakan teori kuantum tersebut dengan satu situasi di mana seekor kucing diletakkan di dalam kotak tertutup bersama bahan radioaktif. Bahan radioaktif yang mereput akan menghasilkan kesan Geiger dan ia akan mengeluarkan bahan yang boleh membunuh kucing tersebut. Jika mengikut teori kuantum tadi, bahan radioaktif tersebut boleh berada dalam keadaan "mereput" DAN "tidak mereput" dalam masa yang sama.

    Apa yang terjadi kepada kucing tersebut? Selagi tiada pemerhati dari luar yang membuka kotak itu, kucing tersebut akan berada dalam keadaan hidup DAN mati dalam masa yang sama. Apabila kotak itu dibuka, hanya satu keputusan saja yang akan terhasil iaitu hidup ATAU mati.

Schrödinger's cat - Wikipedia

Konklusi

    Dengan adanya teori Schrodinger, ramai mula mempercayai bahawa keadaan atau situasi yang berlaku tidak hanya disebabkan oleh pemerhati semata-mata, seperti yang dinyatakan oleh teori kuantum pada mulanya. Namun begitu, ada juga pihak yang mengambil teori Schrodinger itu secara serius walaupun itu bukanlah tujuan teori kucing itu dicipta. Konsepnya yang menarik menambahkan lagi minat orang ramai walaupun mereka bukan dari kalangan ahli fizik atau sains. Antara golongan yang menunjukkan minat terhadap teori kucing yang ada dalam keadaan hidup DAN mati adalah golongan seni. Salah satu filem yang dihasilkan bersandarkan teori kucing Schrodinger ini ialah filem Coherence (2014).

Coherence (film) - Wikipedia

Jumaat, 7 Ogos 2020

Teknologi Cetakan 3D

    Pernahkah anda mendengar cetakan 3 dimensi (3D)? Sebenarnya, cetakan 3D tidak lagi asing dalam dunia teknologi zaman hari ini. Rata-rata syarikat pembuatan sudah mula menggunakan teknologi ini kerana kelebihan-kelebihannya. Selain itu, terdapat juga institusi pengajian yang mempunyai teknologi ini untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar mereka.

Apakah Cetakan 3D?

Cetakan 3D atau nama lainnya ialah pembuatan tambah (additive manufacturing) merupakan satu teknologi alternatif yang berbeza dengan proses pembuatan tradisional ataupun pembuatan subtraktif (subtractive manufacturing). Bagi pembuatan subtraktif, sebuah bongkah bahan mentah seperti bongkah kayu atau besi akan dibuang sedikit demi sedikit untuk menjadikannya sebuah produk. Berbeza dengan pembuatan tambah, ia membentuk produk yang ingin dihasilkan dengan cara menambah bahan mentah lapisan demi lapisan sehinggalah ia menjadi sebuah produk.

    Bahan mentah dalam bentuk filamen bergulung (pelbagai jenis plastik atau bahan lain mengikut keperluan) digunakan sebagai dakwat dan disimpan di dalam mesin cetak. Sila rujuk gambarajah di bawah untuk penjelasan yang lebih mudah.

Subtractive and Additive Manufacturing Subtractive manufacturing ...

Proses Cetakan 3D

Proses setiap cetakan 3D secara khususnya adalah berbeza antara satu mesin dengan mesin yang lain mengikut pengeluar mesin cetak 3D tersebut. Namun, ia boleh dipermudahkan kerana asasnya yang serupa. Proses cetakan 3D boleh dibahagikan kepada 3 bahagian, iaitu proses persiapan, semasa, dan penamat.

Persiapan

1. Produk akhir perlu dilukis dalam bentuk 3D menggunakan perisian komputer (CAD) seperti Solidworks, Catia, dan sebagainya.

2. Fail lukisan tersebut perlu dipindahkan ke mesin cetak 3D dalam format-format yang diperlukan.

3. Simulasi cetakan perlu dijalankan untuk mengelakkan sebarang kesilapan berlaku.

4. Proses cetakan boleh dimulakan.

Semasa

1. Bahan mentah yang tersimpan di dalam mesin akan disalurkan ke muncung cetak dan ia akan dicairkan menggunakan suhu yang tinggi, mengikut spesifikasi mesin dan bahan yang digunakan.

2. Setelah cair, muncung tersebut akan bergerak mengikut bentuk produk yang diinginkan lapisan demi lapisan sehingga siap.

Penamat

1. Produk akhir boleh dikeluarkan dari mesin dan analisa terhadap permukaan boleh dilakukan.

2. Sekiranya kualiti permukaan produk tidak memuaskan kerana terjadinya kesan tangga (staircase effect), proses tambahan untuk melicinkan permukaan boleh dilakukan. Gambarajah di bawah menunjukkan kesan tangga terhadap produk cetakan 3D yang selalu terjadi kepada produk dengan permukaan melengkung.
5 Settings to Improve Your SLA/DLP/LCD 3D Print Quality : 5 Steps ...

Kelebihan dan Kekurangan

Kelebihan

1. Memudahkan penghasilan produk yang mempunyai rekabentuk yang kompleks.

2. Amat berbaloi dalam menghasilkan prototaip kerana tidak memerlukan langkah yang kompleks dalam penghasilannya.

3. Boleh mengurangkan kos penyimpanan kerana ia boleh dihasilkan mengikut pesanan.

4. Produk lebih ringan dan lebih kukuh.

5. Mengurangkan sisa bahan mentah dengan kadar yang sangat tinggi.

Kekurangan

1. Tidak sesuai untuk penghasilan produk dalam jumlah yang besar kerana ia memakan masa yang agak lama.

2. Pemilihan jenis bahan mentah yang terhad.

3. Proses penambahbaikan kualiti permukaan tidak dapat dilakukan untuk produk bersaiz besar.

4. Kos mesin dan bahan mentah yang sangat tinggi berbanding pembuatan subtraktif.

Putera Rahsia (1)

Camelia merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Adrian. Mereka tinggal berdua kerana suami Camelia telah me...